Kata aluan dari Guru Besar SKTMKL


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ahli keluarga serta para sahabat baginda sekalian.

Selaku Guru Besar SK Taman Melati, saya amat berbesar hati dan bersyukur dengan wujudnya laman blog ini yang merupakan satu kaedah untuk berhubung dengan ahli qariah yang terdiri daripada ibu bapa, guru-guru dan murid-murid SKTMKL.  Dengan adanya sudut informasi ini, Surau ar-Raudhah telah mengorak langkah setapak lagi di dalam menyebarkan maklumat dan berita berkenaan segala aktiviti yang telah dan akan dijalankan. Segala cadangan yang baik berkenaan aktiviti bolehlah diajukan kepada kami untuk dikaji oleh AJK. Pandangan dan sumbangan dari tuan-tuan dan puan-puan sekalian amat kami hargai demi kebaikan bersama.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak PIBG SKTMKL kerana memberi sokongan padu yang tak putus-putus terutamanya dalam memberi sokongan kewangan kepada kami. Kita akan sentiasa mengemaskini sudut informasi ini untuk perkembangan aktiviti surau, program mingguan dan bulanan, galeri gambar aktiviti yang telah dijalankan dan juga beberapa maklumat yang boleh dimanfaatkan oleh semua dari masa ke semasa. Selain itu, pelbagai program pengisian untuk semua murid beragama Islam di sekolah ini akan dilaksanakan dengan baik, kerana imarahnya sesebuah surau itu adalah terletak pada program-program yang akan meningkatkan taqwa dan iman umat Islam serta merapatkan silaturrahim sesama kita, Insha Allah.

Bagi pihak AJK Surau Ar-Raudhah, SKTMKL kami menyedari bahawa kami bukanlah barisan yang terbaik untuk menjadi pentadbir yang sempurna. Justeru, dengan rendah hati dikesempatan ini, kami memohon kerjasama semua pihak agar terus membantu kami dalam semua aspek ke arah merealisasikan impian kami untuk menjadikan Surau Ar-Raudhah, SKTMKL sebagai salah sebuah surau contoh yang mesra kepada semua peringkat usia. Beberapa program jangka pendek dan jangka panjang sedang diaturkan dan sokongan semua amat diharapkan dalam memakmurkan surau kita.

Bagi kami, tiada gunanya mempunyai sebuah surau yang megah dan indah, tetapi sepi dari segi pengisian program yang bermanfaat kepada umat Islam terutamanya untuk pelajar-pelajar SKTM.

Maksud firman Allah SWT dalam Al-Quran:
“Hanyalah yang memakmurkan rumah-rumah Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapa pun) selain daripada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” - Surah At- Taubah ayat 18.

Sekian, terima kasih dan wassalam.

No comments:

Post a Comment